Susah payah dia memahami. Kerut-kerut dahi memikir. Kenapa kita perlu sebarkan kebencian begitu? Bukankah baik kalau saling menyayangi. Ah, sakit kepala. Mungkin benda-benda begini memang bukan untuk difikir, tapi ditunjuk diserlahkan daripada perlakuan. Tapi kalau dia seorang sahaja yang berusaha, masakan perubahan boleh terjadi? Orang putih pun kata it takes two to tango.
Shamsul jalan seorang. Dia memang suka bersendirian. Bukanlah bermakna dia benci bersosial, tidak sama sekali. Malah, dalam kalangan kawan-kawannya, dia dikenali sebagai seorang yang peramah. Cuma seperti manusia biasa yang lain, adakalanya dia memilih untuk jalan sendiri, memikir soal masyarakat yang entah siapa lagi yang mahu fikir. Nak harapkan orang berkuasa, ah, semua dua kali lima sahaja. Langsung tak boleh harap.
Dia pernah utarakan pada seorang teman bila terjumpa status mukabuku yang berbunyi 'jangan tunjuk sangat kau bahagia dekat media sosial, nanti mesti akan ada punya lah antara teman fb kau yang doakan kau cepat-cepat putus'. Dia bangkang sungguh-sungguh. Apa sahaja dalam hati manusia yang buat kau tak mampu bahagia dengan kebahagiaan orang lain? Bukankah bila kau melihat bahagia, kau patut tumpang bahagia dan doakan kebahagiaan. Apa sahajalah yang mengejar engkau dalam hidup, sampai kau sanggup tutup hidup jalan manusia lain? Dikejar zombies kah?
Terbaru, dia melihat bangsa dan kaum masih lagi jadi isu bila viral status beberapa orang Cina menghina si mati seorang tokoh Melayu Islam. Yang Melayu geram taknak kalah, terus diajak sebar status tersebut. Ah, bukankah lagi menambah benci. Yang bodoh dan hina itu bukan pada bangsa. Kalau kecantikan adalah hak milik setiap insan, kurang ajar juga terletak pada dia, bukan pada bangsa dia.
Dulu Melayu juga ada begitu, bila yang mati itu seorang tokoh Singh. Karma hits hard eh?
Sungguh, benci tak perlu disebar-sebar. Andai boleh diselesai dengan sekecil dan sesenyap cara, cubalah dulu. Namun andai yang dilalui itu sayang dan kasih, nah, khabarkanlah ke seluruh alam. Biar semua orang turut terpalit sayang dan kebaikannya. Shamsul mengeluh kecil. 'Tak semua orang sama fikiran dengan kita'.
Dia melalui deretan kedai. Tiada yang menarik perhatian. Dia bukan mahu membeli apa-apa. Gelagat manusia lebih menarik minatnya. Lagi pula, harga barang di kedai sekitar segi tiga emas ini tak tercapai dek poketnya.
Dihadapannya, sebuah keluarga arab dengan setiap mereka memegang pelbagai plastik bermacam jenama. Sedikit ke kanan, sepasang kekasih bergelak ketawa entah bercanda apa. Dia menoleh ke kiri. Kelihatan seorang perempuan tua lingkungan 50-an mengendong satu plastik besar dipenuhi botol-botol kitar semula.
Guruh berdentung kuat secara tiba-tiba. Dia mendongak ke langit. Kelihatan awan hitam berarak lemah. Mungkin akibat sudah padat dipenuhi air yang tak tahu entah bila akan mencurah keluar, awan tersebut tak lagi gagah bergerak megah. Begitulah kalau diri yang senantiasa bermegah. Entah kosong tak punya apa, tak juga memberi rahmat kepada manusia lainnya.
Dengan tak disangka, hujan tiba-tiba turun dengan lebatnya. Shamsul berlari ke arah perhentian bas berdekatan, mencari tempat berteduh sementara untuk mencari payung di dalam beg sandangnya. Dia yakin dia sudah meletakkan sekaki sebelum keluar. Kan pepatah dah kata, 'sediakan payung sebelum hujan'. Masalahnya dah sediakan, tapi basah juga sedikit sementara mencari.
Ah, jumpa pun. Dia monolog sendiri. Baru sahaja dia mahu membuka payungnya, dia tertoleh ke kiri. Seorang nenek tua, Cina, duduk sendiri. Entah apa yang merasuk fikiran, tanpa pembuka kata dan salam perkenalan, dia hulurkan payungnya pada nenek itu dengan segaris senyuman. Nenek yang menyambut, juga tanpa sebarang kata, menerima huluran tersebut. Ucapan terima kasih diluah dengan senyuman. Beberapa tapak si nenek melangkah, dia menoleh dan membongkok sedikit. Mungkin tanda penghargaan yang bukan sedikit.
Dan malam itu, walau lafaz tak terucap, walau perbuatan tak seberapa, hati rasa sangat lapang. Malam itu, Shamsul tidur dengan senyuman tak lekang di bibir.
* * * * * *
"Weh kau tahu tak kau famous?"
"Apa yang famousnya kuli batak macam aku ni. Kau ni ada terhantuk tar ke masa hantar parcel tadi?"
"Ya Allah apahal aku yang terhantuk tar pula. Kau buka fb tak semalam?"
"Fb aku tu dah sebulan berhabuk weh. Mana ada masa nak scroll."
"Kau pergi buka sekarang. Sekarang tau."
Dengan malas Shamsul capai telefon pintarnya dan log masuk. Terpempam seketika saat melihat sepuluh notification pertamanya ialah daripada kawan. Di-tag bersama sebuah artikel kisah tiga bulan lalu. Kisah payung yang dia pun sudah lupa waktu ini. Benda yang pada ketika kejadian bukanlah dibuat sebagai budi atau jasa, apatah lagi mencari populariti. Benda yang pada ketika kejadian, dia lakukan atas dasar sesama insan.
"Bila tengok ada status kata Cina menipu dan racist masa menjual kepada bangsa lain, lepastu Cina balas balik hina-hina Melayu, saya teringat satu kejadian yang berlaku depan mata saya. Masa itu, ada kes macam inilah. Melayu suruh viral cina racist, melayu pula hina balik sebab viral tu. Tapi depan mata saya, abang tu (melayu) hulur payung untuk nenek (cina) dekat stesen bas. Saya yakin mereka tak kenal antara satu sama lain, dan saya yakin abang tu ada urgent matter sebab lepas nenek tu gerak dengan payung, abang tu lari redah hujan.
Kalau saya jadi abang tu, saya pun tak yakin yang saya akan hulur payung saya dekat nenek tu. Sebab ye la, kita pun nak cepat. Lepastu bila baca komen-komen dan status yang viral waktu tu, saya macam ada rasa benci sikit dekat cina. Saya tak pernah ada kawan selain melayu, jadi saya tak pasti kalau ada cina yang sebaliknya. Tapi abang tu, tak ada ragu langsung hulur payung tu. Dan senyuman nenek tu, saya terus rasa, Malaysia masih punya harapan. Kita masih mampu bersatu tanpa tengok bangsa, agama, kaum, dan warna kulit. Kita semua warganegara.
Terima kasih abang. You made my day and my mind and my heart and my belief. Start hari tu, saya tanamkan dalam otak dan hati anak-anak murid tuisyen saya, dan saya suruh mereka sebarluaskan kata-kata ni 'jahat tu pada manusia, bukan pada bangsa atau agama. Kalau kita tengok sorang jahat, tak semestinya yang lain pun jahat. Kita semua sama, kita semua manusia. Untuk dunia yang aman, kita kena saling buat baik, tak kisahlah dia agama atau bangsa apa sekalipun. Alhamdulillah murid saya semua kata mereka selalu betulkan kawan-kawan yang kata satu bangsa tu jahat. Semoga lepasni mindset kita semua berubah dan malaysia makmur aman damai berbilang kaum sentiasa."
Dan sekeping gambar dia disitu.
Sekecil-kecil perbuatan dengan secubit kasih sayang dan sedikit bahagia.
Dan komen-komen yang memberangsangkan.
Malaysia masih punya harapan.
Buat je baik. Mulakan je. Akan ada je orang yang sama fikiran dengan kita. Shamsul senyum lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan